Ahad, 6 Februari 2022

‘Pakar’ senjata api buatan sendiri ditahan di Beaufort

SUSPEK ditahan bersama selaras senapang jenis bakakuk dan beberapa lagi peralatan membuat senjata api. - Gambar hiasan Freepik

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai ‘pakar’ membuat senjata api buatan sendiri dalam satu serbuan di Kampung Pansong, Beaufort, semalam.

Suspek berusia 57 tahun itu ditahan dalam operasi pada 2.30 petang bersama selaras senapang jenis bakakuk dan beberapa lagi peralatan membuat senjata api, yang turut dirampas polis.

Ketua Polis Beaufort Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

“Sejurus ditahan, suspek mengaku menyimpan senjata api dan peralatan membuat senjata api di rumahnya,” kata Yusoff Zaki, menurut laporan Berita Harian.

Suspek dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut, dan polis akan memohon dia direman mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, tambahnya.

Sebelum ini, kecoh di Sabah mengenai dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan.

Bagaimanapun, siasatan dan risikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mendapati tiada petunjuk menunjukkan kejadian itu berlaku.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

[VIDEO] Lelaki cetus kejadian khianat dekat Ipoh direman 4 hari

Tangkap layar klip video seorang lelaki dipukul orang ramai selepas kejadian khianat dilakukannya.

Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang bertanggungjawab mencetuskan kejadian khianat di Taman Ipoh Timur semalam sehingga mengakibatkan dia dipukul sekumpulan individu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek kini telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 8 Februari untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan pada Jumaat (4 Februari) mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes itu kini kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kerana mendatangkan kecederaan serta khianat.

Yahaya berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan polis yang dibuat oleh waris lelaki itu hari ini mengenai suspek yang dipukul orang ramai semasa kejadian.

“Siasatan masih dijalankan dengan merangkumi kesemua aspek berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan penularan video berkaitan insiden itu.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak melangkaui undang-undang atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa jua keadaan.

“Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Lewat malam tadi UtusanTV turut berkongsi klip video mengenai satu kejadian pukul yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang lelaki selepas disuruh memakai pelitup muka.

Lelaki berbaju biru itu yang dikatakan mengamuk dengan merosakkan beberapa peralatan sebuah restoran di kawasan kejadian telah dipukul orang ramai akibat tindakannya itu.

Antara peralatan yang dirosakkan lelaki itu termasuk rak kaca dan pengimbas suhu di sebuah restoran.

PRN: Tumpu muafakat dan penyatuan Melayu, tidak perlu saling menyerang – Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin panas apabila semakin banyak parti berminat menyertainya dan pemimpin parti masing-masing juga telah memulakan kempen menyerang parti lawan.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpendapat walaupun PRN akan diadakan tidak lama, pihak-pihak bertanding tidak seharusnya begitu ghairah menyerang parti lawan sehingga menjejaskan perpaduan masyarakat.

“Menyerang bertubi-tubi tidak membawa kita ke mana-mana. Politik kini memerlukan hemah dan kebijaksanaan aras tinggi. Tumpu kepada perkara-perkara asas dan dasar.

“Tumpu kepada usaha mensejahterakan rakyat serta menghurai agenda masa depan. Tumpu juga kepada jalan-jalan penyatuan dan muafakat Melayu yang kini kembali rumit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, usaha melunakkan hubungan politik orang Melayu dan umat Islam mesti diteruskan dan agenda muafakat yang pernah terbentuk sebelum ini tidak harus dikesampingkan begitu saja.

“Insyaallah walau berlaku PRN di Johor, agenda kebersamaan orang Melayu dan umat Islam mesti kita teruskan.

BERITA BERKAITAN PRN Johor: PN muktamad senarai calon minggu depan – Muhyiddin

“Justeru bersederhana itu adalah sebaik-baik cara untuk semua pihak,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.

WAN SAIFUL Wan Jan berulang kali menyerang UMNO 
Johor ketika berceramah di Johor. – Tangkap layar ceramah 
Wan Saiful

Katanya, sejak beberapa hari lepas, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak bertubi-tubi menyerang UMNO kerana PRN di Johor.

“Nasihat saya pada Wan Saiful supaya tumpu pada partinya dulu dari menyerang UMNO, khususnya UMNO Johor. UMNO ada cara kita sendiri. UMNO bukan setahun jagung. UMNO juga bukan serpihan. UMNO ada sejarah dan wibawanya sendiri. Begitu juga UMNO Johor,” katanya.

Katanya, PRN tersebut diadakan selepas UMNO dan BN Johor telah meneliti semua sudut dan merasakan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dan Bangsa Johor, agar terbentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil dan dapat menumpukan sepenuhnya tumpuan kepada usaha membangunkan Johor dan membela rakyat Johor.

“Kepimpinan UMNO Johor merupakan satu saf kepimpinan yang amat baik, berpengelaman dan istiqamah dalam perjuangan politik. Mungkin tidak semua, tapi rata-rata Johor melahirkan pemimpin yang berkualiti. Apa lagi dalam isu negeri dan rakyat Johor, orang Johorlah yang lebih tahu tentang negeri mereka,” katanya. – UtusanTV

KL harus bersedia depani cabaran, pastikan tiada golongan terpinggir – PM

KUALA LUMPUR yang meniti usia separuh abad tahun ini harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan serta memastikan tiada golongan yang dipinggirkan selaras prinsip Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip tiada yang dipinggirkan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan yang mentadbir bandar raya ini perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

“Bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Prinsip ini terpakai dalam mengurus dan mentadbir bandar raya Kuala Lumpur. Golongan B40 misalnya, perlu diambil perhatian bagi memastikan keperluan asas mereka terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur malam ini.

Pembentukan bandar raya yang mampan untuk semua perlu mengambil kira keperluan ekonomi sesebuah bandar malah tarikan sebenar sesebuah bandar raya adalah keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan, katanya.

“Dengan adanya faktor tarikan ini, maka bandar raya dapat terus berkembang secara holistik untuk jangka masa panjang,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata warga kota merupakan tunjang keutuhan Kuala Lumpur dan kewujudan media baharu telah mendekatkan mereka dengan pentadbir bagi menyuarakan suara dan pandangan dalam pembangunan ibu negara.

“Suara dan pandangan mereka inilah yang akan menggerakkan usaha kerajaan. Khususnya, terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Hal ini selari dengan iltizam saya,” katanya.

Mengimbau sejarah bandar raya pertama di Malaysia itu, beliau berkata Kuala Lumpur yang dahulunya sebuah pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi serta dipenuhi rumah-rumah atap nipah, kini meriah dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan perkembangan pesat penempatan penduduk.

Katanya, dunia juga terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan kini, Menara Merdeka 118 merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pada ketinggian 678.9 meter.

Beliau berkata penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat saban tahun dengan kini dianggarkan berjumlah lapan juta orang susulan pertumbuhan pesat ekonomi.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah. BERNAMA

PM umum Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur

 Oleh ZULKIFLI MANZOR

Perdana Menteri (dua dari kiri) memukul gong tanda sembolik perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur di Panggung Anniversary Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur malam in

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata, PKKMKL merangkumi dua perkara utama iaitu usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.

“Bagi menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaiktaraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.

“Selain itu, DBKL dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur di Panggung Anniversary Taman Botani Perdana di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Pada 1 Februari lalu, genap usia Kuala Lumpur 50 tahun diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia.

Ismail Sabri berkata, dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membolehkan warga kota mendapat kehidupan lebih selesa DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.

Menurut beliau, DBKL akan membuat pembaikan lif yang melibatkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Tambah beliau, bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkat dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal “Kuala Lumpur Command & Control Centre”.

Jelas beliau, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian kelulusan lesen premis perniagaan akan dilakukan dalam tempoh 24 jam.

“Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.

“Sebagai insentif menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran melibatkan semua fi permohonan akan diberi rebat 10 peratus sepanjang tahun 2022,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Kuala Lumpur dalam meniti usia 50 tahun harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan.

Jelas beliau, DBKL sebagai pihak yang mentadbir Kuala Lumpur perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Sementara itu, Shahidan dalam ucapan alu-aluan beliau berkata, setakat 31 Disember lalu, seramai 434 belia telah membuka kios perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kata beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan 1,000 buah kios dibuka menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1 juta pokok dirancang ditanam di Wilayah Persekutuan iaitu 500,000 pokok di Kuala Lumpur, 400,000 pokok di Putrajaya, 100,000 pokok di Labuan dan tempoh penanaman bermula 2021 ke 2025.

“Jumlah keluasan kawasan lapang dan kawasan hijau di Kuala Lumpur yang diperuntukan bagi tujuan aktiviti rekreasi dan riadah adalah 2068.30 hektar.

“Sebanyak 966.05 hektar tanah sudah pun diwartakan, manakala 1033.99 hektar tanah lapang lagi berpotensi untuk diwartakan seperti digazetkan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

“Kawasan hijau dan kawasan lapang ini juga boleh membawa nilai ekonomi kepada negara apabila dinaiktaraf dan dijadikan sebagai salah satu ikon pelancongan negara,” katanya. – K! ONLINE

Orang Asli mati dibaham Pak Belang

Oleh AIMUNI TUAN LAH

Kampung Bihai, Gua Musang.

GUA MUSANG – Sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar bertukar tragedi apabila salah seorang penduduk ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa, Anek Along yang dipercayai sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya disedari hilang sebelum orang kampung menemui mayatnya bersama harimau itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anak perempuan mangsa yang masih belum disahkan usianya menyedari kehilangan bapa selepas tiada sahutan apabila dipanggil beberapa kali.

Katanya, anak mangsa telah mencari lelaki itu di belakang rumah sebelum melihat kesan darah pada daun-daun pokok.

“Anak mangsa kemudian telah memanggil orang kampung untuk mencari bapanya berdasarkan kesan darah pada daun-daun pokok.

“Tidak lama kemudian, orang kampung akhirnya telah menjumpai mayat mangsa bersama harimau itu. Orang kampung telah membaling lembing dan dipercayai telah terkena harimau sebelum haiwan itu lari ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE.

Warga emas terkunci dalam tandas ditemui mati

 Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

ANGGOTA bomba mengumpil pintu tandas bagi mengeluarkan lelaki warga emas yang terkunci dan meninggal dunia di Taman Guru, Sitiawan, Perak, pagi tadi.

LUMUT – Seorang lelaki warga emas yang terkunci dalam tandas di sebuah rumah di Taman Guru, Sitiawan ditemui meninggal dunia pagi tadi.

Ling Chee Moh, 63,sudah meninggal dunia ketika anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari tandas di dalam rumahnya itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak perempuan mangsa pada pukul 9.38 pagi.

“Anak mangsa menelefon bomba selepas mendapati bapanya tidak keluar dari tandas sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dan Sitiawan diketuai Komander Operasi, Shariman Hashari, bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di rumah itu, kami bertindak mengumpil pintu tandas tersebut dan selepas berjaya dibuka, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.31 pagi. – K! ONLINE

Kanser akibat merokok antara faktor utama penyebab kematian, kata Khairy

 BERNAMA

Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta.

Pengambilan tembakau adalah antara faktor utama pencetus kanser iaitu penyakit utama yang menyebabkan kematian di hospital swasta dan kerajaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kanser menyumbang kepada 34.95% penyebab kematian di hospital swasta dan penyebab kematian keempat tertinggi di hospital kementerian kesihatan (KKM) iaitu 11.56%.

Beliau berkata kanser juga merupakan antara 10 sebab utama kemasukan ke wad di hospital KKM (5.17%) dan hospital swasta (5.37%).

“KKM melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% atau 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016, berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM132.7 juta,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia hari ini.

Tiga jenis kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan kanser prostat (8.1%), manakala dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%), diikuti kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%).

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan dan pengambilan alkohol berlebihan, kurang pengambilan sayur dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.

Sehubungan itu, Khairy menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan mengutamakan penjagaan kesihatan diri dalam kehidupan harian.

Kes harian meningkat lepasi 9,100 jangkitan

 MALAYSIA NOW

Bagaimanapun, kadar kes dalam kategori komorbid, bergejala dan tenat direkodkan sebanyak 0.5%.

9,117 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,904,131 kes.

6,546 pesakit juga direkodkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh sebanyak 2,806,154.

Dalam pada itu, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 123 kes di mana 81 daripadanya disahkan Covid-19.

Sementara itu pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 67 kes di mana 34 adalah kes Covid-19.

Dari 9,117 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 47 kes (0.5%) adalah daripada Kategori Tiga, Empat, dan Lima, dan 9,070 kes (99.5%) lagi adalah terdiri daripada Kategori Satu dan Dua.